SIFAT MA'ANI
Sifat Apakah Yang Terkandung Di Dalam Ma'ani?
Sifat yang terkandung di dalam sifat ma'ani ada 7 perkara:
1. Hayat = hidup
2. Qudrat = kuasa
3. Iradat = berkehendak
4. Ilmu = mengetahui
5. Sama' = mendengar
6. Basyar = melihat
7. Qalam = berkata-kata
Bentuk sifat ma'ani itu, adalah sifat yang boleh dilihat dan boleh digambarkan oleh akal. Ianya juga merupakan sifat yang terzahir (tergambar) pada fikiran dan terbayang pada khayalan. Seumpama sifat hayat (hidup), ianya terbayang kepada sifat nyawa, sifat melihat, terbayang pada sifat mata dan pendengaran, terbayang kepada sifat telinga. Kita boleh bayangkan sifat ma'ani, melalui pendengaran, penglihatan dan sebagainya.
Sifat ma'ani bukan sahaja terzahir pada khabar tetapi terzahir juga pada kenyataan, ertinya maujud pada khayalan fikiran dan maujud juga pada kenyataan sebenar. Wujud sifat ma'ani itu, adalah dikeranakan dengan sesuatu, kerana yang lain. Tanpa kerana sifat yang lain, sifat ma'ani tidak boleh wujud dan tidak boleh zahir. Wujudnya sifat ma'ani adalah dikeranakan menumpang sifat ma’nawiyah.
Bagaimana Menterjemah Sifat Ma'ani Pada Diri kita?
Sifat ma'ani Allah Ta'ala yang jelas terzahir pada diri kita ada 7;
2. Mengetahui
3. Berkuasa
4. Berkehendak
5. Melihat
6. Mendengar
7. Berkata-kata
Ada dengan terang dan jelas menzahir sifat-sifatNya ke atas diri kita.Tujuan dizahirkan sifatNya supaya dijadikan sebagai pedoman, sebagai panduan dan sebagai iktibar untuk kita mengenal, melihat dan memandang Allah melaluinya. Allah bukan ain (bukan benda) yang boleh dikenal melalui bentuk hitam dan putih. Allah menzahirkan sifat-sifatnya ke atas diri kita adalah bertujuan supaya dijadikan "Tempat memandang sifat-sifatnya" kepada mereka-mereka yang berpandangan jauh. Tetapi ramai yang masih tidak memerhatikannya. Sifat hidup, sifat mengetahui, sifat berkuasa, sifat berkehendak, sifat melihat dan sifat berkata-kata yang dipakai Allah atas diri kita, adalah menjadi tanda kebesaranNya atas diri kita supaya kita memerhati dan melihatnya. Sifat-sifat tersebut bukannya sifat peribadi kita tetapi sifat tersebut sebenarnya adalah hak kepunyaan mutlaq Allah Ta'ala.
Sifat yang kita pakai ini adalah pinjaman semata-mata. Dari itu hendaklah kita sedar dan insaf akan hal itu. Kesemua sifat-sifat tersebut adalah hak milik Allah dan kepunyaan Allah swt yang sepatutnya dikembalikan semula kepada tuan yang empunya, sementara hayat masih dikandung badan. Penzahiran sifat ma'ani (angin) atas makhluk (diri kita) adalah sekadar pinjaman yang berupa pakaian sementara, yang akhirnya dikehendaki kembali semula kepada tuan yang empunya. Allah tidak boleh diibarat atau dimisalkan dengan sesuatu.
Maha suci Allah dari ibarat dan
misal.Segala misalan atau segala perumpamaan yang dinukilkan itu, hanya sekadar
mempermudahkan faham. Sifat ma'ani itu, adalah seumpama bayang-bayang, manakala
Allah Ta'ala itu, adalah seumpama tuan yang empunya bayang.
Firman Allah :
25.Surah Al-Furqān (ayat 45) bermksud:
"Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
Maksud hadis:
Tujuan mempelajari sifat ma'ani adalah bertujuan supaya kita mengaku bahawa sebenarnya diri kita ini tidak ada, tidak wujud dan terjadi. Yang wujud, yang ada dan yang terjadi adalah hanya semata-mata Allah, seumpama sifat bayang, terzahirnya bayang itu, adalah bagi tujuan menampakkan dan menyatakan sifat yang empunya bayang itu sendiri.
Di dalam keghairahan membicarakan soal sifat ma'ani, harus diingat bahawa Allah tidak bertempat.Allah tidak menjelma ke atas jasad.Allah tidak bertempat di dalam atau di luar badan, Allah tidak bersatu, tidak bercantum dengan badan, Allah bukan kesatuan, Allah bukan bersyarikat, bukan bercantum dengan jasad kita.Orang-orang yang mengaku bahawa Allah menjelma di dalam jasad dan tidak kurang pula ada yang mengaku Tuhan dan sebagainya. Sesungguhnya mereka-mereka itu, adalah tergolong di kalangan mereka-mereka yang sesat dan sejahil-jahil manusia.
Allah tidak ada dalam diri kita, tetapi kitalah yang ada dalam Allah. Bukan kita mengandungi Allah, tetapi Allahlah yang mengandungi kita. Bukan kita yang meliputi Allah, tetapi Allahlah yang meliputi kita. Kesemua sifat yang kita miliki ini adalah milik Allah, sifat yang ada pada diri kita akan hancur, binasa dan hilang lenyap, sifat yang kekal dan yang abadi itu, hanyalah Allah swt.
Sifat ma'ani adalah wajah Allah yang terzahir melalui sifat dan rupa paras roh, melalui sifat mata, mulut, telinga, dan anggota tubuh seluruhnya. Sebagaimana rupa dan paras roh, sebegitulah wajah ma'ani Allah, kerana rohlah sifat ma'ani Allah. Untuk melihat sifat ma'ani Allah lihatlah pada wajah dan sifat rupa paras diri kita sendiri. Hubungan roh dengan sifat ma'ani itu, seumpama sifat mata pada roh, penglihatan bagi Allah, telinga pada roh, pendengaran bagi Allah dan begitulah seterusnya.
Apakah Hubungannya Sifat Ma'ani Dengan Kalimah Syahadah?
Tujuan kita mempelajari dan mendalami ilmu ma'ani itu, adalah untuk membawa kepada pemahaman kalimah syahadah.Tujuan nafsiah membawa pengertian kepada kalimah "Laa" adalah kalimah bagi menafikan kewujudan sifat makhluk. Manakala sifat ma'ani kalimah "Ila ha" pula, bermaksud mengadakan atau mengiakan dan mengambil balik segala apa yang kita telah tolak dalam kalimah "Laa". Jika dalam kalimah "Laa" kita tolak semua sifat makhluk, manakala dalam kalimah "Ila ha" pula, ianya kita adakan semula. Walaupun sifatnya diadakannya kembali, ianya adalah sekadar sifat yang menumpang.
Untuk dihubung kaitkan dengan kalimah syahadah, kita hendaklah melihat sifat mata yang kita miliki, tidak berguna, tanpa penglihatan Allah, telinga kita tidak akan bermakna tanpa pendengaran Allah, mulut tidak bererti tanpa berkata-kata Allah, hidup tidak berguna tanpa hidup Allah, akal tidak bererti jika tanpa ilmu Allah, anggota tidak bermakna tanpa kuasa Allah. Segala-galanya yang ada pada kita bergantung dan menumpang sifat Allah.
Diri kita ini sesungguhnya yatim piatu yang tidak punya apa-apa. Ibu bapa, anak-isteri, kaum-keluarga, harta benda, hidup mati dan kaya miskin itu, adalah hak Allah Ta'ala, yang boleh diambilnya balik pada bila-bila masa. Yang kita miliki ini, adalah semata-mata hak kepunyaan Allah. Di tangan Allahlah diri kita, segala kekuatan, kecantikan, kekayaan dan kegagahan yang selama ini kita megah-megahkan itu, sebenarnya adalah milik kepunyaan Allah. Dengan kefahaman bahawa, sifat diri kita ini, sebenarnya mati dan menumpang. Seumpama sifat mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan seluruh anggota, menumpang wajah kebesaran Allah. Yang hendaknya dikembalikan semula sifat itu kepada Allah.
Anggaplah diri kita ini, sudah mati, binasa, hilang dan lenyap dalam wajah Allah. Yang kita miliki ini, semuanya adalah hak Allah Ta'ala belaka. Hendaklah kita serah kembali kepada Allah. Kembalikan sifat-sifat tersebut kepada Allah. Jadikanlah diri kita ini seumpama fakir, muflis, hina, mati, binasa dan hilang dalam kekuasaan Allah. Inilah di antara hikmah dan di antara intipati mempelajari sifat ma'ani dalam sifat 20.
Bagaimana Mengenal Allah Melalui Sifat Ma'ani?
Peranan sifat ma'ani hanya sekadar menjadi saksi (kesaksian) Sifat ma'ani berperanan sekadar sifat menumpang. Seumpama basar, hanya menumpang kepada sifat basirun. Telinga menumpang sifat sama', manakala sama' pula menumpang sifat samiun. Lidah menumpang sifat kalam, manakala kalam pula menumpang sifat mutakallimun. Sifat ma'ani adalah sifat menumpang sifat ma’nawiyah (sifat kekuasaan Allah).
Sifat ma'ani bertujuan supaya sifat
Allah dapat dilihat melalui pancaindera, pada roh dan pada diri kita sendiri. Allah
berilmu manakala diri pula bersifat mengetahui melalui akal.Allah berkudrat,
manakala diri pula bersifat berkuasa melalui panca indera.Allah beriradat,
manakala diri pula bersifat berkehendak (dapat berkeinginan melalui rasa).
Allah bersifat sama' manakala diri pula bersifat mendengar melalui telinga.
Allah bersifat basar manakala diri pula bersifat melihat melalui mata. Allah
bersifat kalam, manakala diri pula bersifat berkata-kata melalui lidah.
Setelah kita sedar, bahawa sifat yang kita pakai ini adalah sifat pinjaman dan menumpang sifat Allah, sebaiknya kembalikanlah semua sifat-sifat itu kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba memakai pakaian Allah, walaupun secara percuma atau secara pinjaman, kerana kita tahu bahawa pakaian Allah itu, amat tidak layak untuk dipakai oleh kita. Kita tidak layak memakai pakaian Allah dan kita tidak layak untuk menerima pinjaman Allah. Pakaian Allah itu, Allahlah pemiliknya, Allahlah yang layak memakainya.Sebenarnya kita ini, tidak punya apa-apa pakaian atau persalinan. Kita ini adalah ibarat tangan kosong. Yang menjadi milik dan kepunyaan kita bukan pakaian atau persalinan, yang menjadi milik dan kepunyaan kita yang mutlak, adalah Allah itu sendiri.
Inilah konsep yang hendak diketengahkan dan yang hendak diterapkan melalui sifat ma'ani.Konsep serta kefahaman inilah yang benar-benar perlu kita fahami. Cuba fahami dan hayati betul-betul sifat ma'ani yang tujuh itu, apabila kita telah kasyaf dalam menghayati sifat ma'ani, di sinilah membawanya lebur dan terbakarnya sifat diri yang palsu dan yang menumpang ini.
Bagi mereka-mereka yang mengenal Allah, apabila dia cuba untuk memakai sifat Allah. maka hancur terbakarlah anggotanya, lebur musnahlah sifat jasadnya. Mereka tidak sekali-kali berani memakai sifat pakaian Allah. Pakaian Allah itu ada tujuh iaitu seumpama sifat hidup, ilmu, kudrat, iradat, samak, basar dan kalam, manakala pakaian kita juga tujuh seumpama;
1. Pakaian sifat mati (binasa)
2. Pakaian sifat bodoh dungu
3. Pakaian sifat lemah, lumpuh tidak berupaya
4. Pakaian sifat tidak berkemahuan, tidak
berkehendak
5. Pakaian sifat pekak dan tuli
6. Pakaian sifat buta
7. Pakaian sifat bisu
Inilah pakaian dan sifat-sifat yang kita pakai serta pakaian mereka-mereka yang mengenal diri dan yang mengenal Allah swt. Mereka ini beranggapan dan beriktikad bahawa, diri serta jasad mereka sudah mati, tidak ada, lebur dan binasa. Mereka tidak lagi berakal, tidak lagi mempunyai kekuatan, tidak lagi berkemahuan, tidak berpendengaran, tidak lagi berpenglihatan dan tidak lagi bersuara diri lagi.Jasad mereka sudah fana', sudah baqa' dan karam dalam wajah Allah swt.
Diri mereka tidak ubah seumpama mayat yang hidup. Mereka tidak memakai pakaian Allah, mereka tidak meminjam pakaian Allah, mereka tidak mengambil persalinan Allah, mereka tidak memakai apa-apa yang menjadi hak Allah. Tidak layak bagi mereka untuk menerima apa-apa yang menjadi milik Allah. Bagi mereka, segala-galanya adalah dari Allah, kepada Allah dan berserta Allah. Baik di dalam tidur, dalam jaga, dalam gerak, dalam tutur kata, dalam penglihatan, pendengaran, berkeinginan dan sebagainya, semuanya milik Allah.
Bukan sifat mata yang mereka pandang, tetapi penglihatan Allah, bukan sifat telinga menjadi tumpuan, tetapi pendengaran Allah, bukan mulut menjadi keinginan, yang menjadi keinginan mereka ialah suara (kata-kata) Allah.Yang berkeinginan dan berkehendak itu, adalah Allah swt. Yang berkuasa dan berilmu itu adalah Allah. Inilah kaedah pegangan iktikad orang makrifat, dalam menterjemah sifat ma'ani. Yang menjadikan hati kita penuh yakin kepada Allah.
Tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk dipelajari dan difahami, adalah untuk membawa kita kepada suatu keinsafan diri, bahawa semua yang kita miliki dan yang ada pada diri kita ini, sebenarnya adalah milik Allah. Setelah kita sedar yang segala-gala sifat itu menjadi milik Allah, hendaklah kita kembalikannya semula kepada Allah. Seandainya yang menjadi milik Allah itu telah kita serahkan semula kepada Allah, semasa hayat masih dikandung badan dan semasa masih berada di dalam dunia, apabila kita pulang ke rahmatullah kelak (setelah kita mati nanti), tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditanya, perlu dihisab dan perlu dipersoalkan oleh Malaikat Munkar Dan Nakir.
Perkara yang membuat kita ditanya dan disoal itu, adalah kerana hutang sifat kita semasa di dunia masih belum dijelaskan, mereka yang belum melangsaikan pinjaman dan yang belum mengembalikan hak Allah semasa hayat masih ada dan semasa masih hidup di dunia, hutang sifat yang kita pinjam dari Allah, hendaklah dikembalikan semula kepada Allah. Jika ianya dilangsaikan semasa di dunia, tidaklah ada lagi soal jawab dari Munkar dan Nakir di dalam kubur.
Apa lagi yang Allah hendak tuntut, apa lagi yang Allah hendak tagih dari kita, jika semuanya telah dikembalikan dan diserahkan kepadaNya. Hidup dan mati kita telah kita serahkan kepada Allah, jasad zahir dan batin telah dikembalikan kepada Allah. Apa lagi yang hendak Allah dakwa! Apa lagi yang hendak Allah tuntut! Yang hendak Allah dakwa dan tuntut itu, bagi mereka-mereka yang kembali ke pangkuannya dengan tidak menjelaskan hutang sifat dan tidak mengembalikan hakNya. HakNya diambil pakai, diambil guna, tapi tidak pandai untuk memulangkan dan tidak pula pandai mengembalikannya semula kepada Allah.
Jika semuanya telah dikembalikan kepada yang empunya, nescaya tidak ada lagi, tuntut menuntut, dakwa-dakwi dan tidak lagi ada soal jawab kubur, malah di pintu syurgalah kita disambut oleh Allah swt.
Inilah tujuan pengajaran sifat ma'ani diperkenalkan.Ini adalah tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk diambil tahu oleh sekalian kita. Dengan mempelajari sifat ma'ani, akan membawa kita tahu untuk membezakan, yang mana hak kita dan yang mana hak Allah swt. Perhatikan sekali lagi perkara ma'ani dan hendaknya kita hayati dan tilik dengan mata hati yang kasyaf.
Selagi hayat masih dikandung jasad, kita di kehendaki mengembalikan hak kepada yang berhak, nantinya bila tiba di alam akhirat kelak, kita akan mendapat layanan dan sambutan yang istimewa dari penguasa langit, lain dari yang lain. Kita akan ditempatkan bersama orang yang sempurna lagi terpuji. Roh orang-orang sebeginilah dinamakan roh mutmainnah, roh yang diterima Allah. Tempat kita itu, adalah di sisi Allah, bukannya di sisi tanah yang mengandungi ulat dan cacing.
Roh sebeginilah yang dikatakan roh yang suci bersih, roh yang sentiasa disertai air sembahyang, roh yang sentiasa diiringi dengan kalimah syahadah.Inilah roh mereka-mereka yang mati sebelum mati dan roh mereka-mereka yang mengenal diri semasa di dunia. Inilah yang dikatakan roh yang mengenal tuannya. Tuan yang empunya roh itu, tidak lain dan tidak bukan hanya Allah swt yang satu lagi esa. Inilah penjelasan dan kupasan tentang kefahaman ilmu mengenal Allah (makrifat) melalui pelajaran sifat ma'ani dalam sifat 20, yang bukan sahaja setakat tahu makna tetapi hendaklah dihayati dengan isi di sebaliknya.
bersambung...