SIFAT MA'ANI
Pengertian sifat ma'ani adalah membawa
maksud "PERGANTUNGAN". Ma'ani adalah sifat yang menumpang kepada
sifat lain, seumpama sifat hidup yang bergantung kepada sifat haiyun, seumpama
sifat basar, yang bergantung kepada sifat basiron dan sebagainya. Sifat ma'ani
adalah sifat yang bergantung kepada sifat maknawiyah.Tanpa maknawiyah sifat
ma'ani tidak berfungsi. Berfungsinya sifat ma'ani adalah dengan kerana limpahan
rahmat dari sifat ma’nawiyah (kuasa Allah).Sifat ma'ani itu, bergantung dan
menumpang sifat ma’nawiyah.
Sifat Apakah Yang Terkandung Di Dalam
Ma'ani?
Sifat yang terkandung di dalam sifat
ma'ani ada 7 perkara:
1. Hayat = hidup
2. Qudrat = kuasa
3. Iradat = berkehendak
4. Ilmu = mengetahui
5. Sama' = mendengar
6. Basyar = melihat
7. Qalam = berkata-kata
Apakah Bentuk Sifat Ma'ani?
Bentuk sifat ma'ani itu, adalah sifat
yang boleh dilihat dan boleh digambarkan oleh akal. Ianya juga merupakan sifat
yang terzahir (tergambar) pada fikiran dan terbayang pada khayalan. Seumpama
sifat hayat (hidup), ianya terbayang kepada sifat nyawa, sifat melihat,
terbayang pada sifat mata dan pendengaran, terbayang kepada sifat telinga. Kita
boleh bayangkan sifat ma'ani, melalui pendengaran, penglihatan dan sebagainya.
Sifat ma'ani bukan sahaja terzahir
pada khabar tetapi terzahir juga pada kenyataan, ertinya maujud pada khayalan
fikiran dan maujud juga pada kenyataan sebenar. Wujud sifat ma'ani itu, adalah
dikeranakan dengan sesuatu, kerana yang lain. Tanpa kerana sifat yang lain,
sifat ma'ani tidak boleh wujud dan tidak boleh zahir. Wujudnya sifat ma'ani
adalah dikeranakan menumpang sifat ma’nawiyah.
Bagaimana Menterjemah Sifat Ma'ani Pada Diri
kita?
Sifat ma'ani Allah Ta'ala yang jelas terzahir
pada diri kita ada 7;
1. Hidup
2. Mengetahui
3. Berkuasa
4. Berkehendak
5. Melihat
6. Mendengar
7. Berkata-kata
Ada dengan terang dan jelas menzahir
sifat-sifatNya ke atas diri kita.Tujuan dizahirkan sifatNya supaya dijadikan
sebagai pedoman, sebagai panduan dan sebagai iktibar untuk kita mengenal,
melihat dan memandang Allah melaluinya. Allah bukan ain (bukan benda) yang
boleh dikenal melalui bentuk hitam dan putih. Allah menzahirkan sifat-sifatnya
ke atas diri kita adalah bertujuan supaya dijadikan "Tempat memandang
sifat-sifatnya" kepada mereka-mereka yang berpandangan jauh. Tetapi ramai
yang masih tidak memerhatikannya. Sifat hidup, sifat mengetahui, sifat
berkuasa, sifat berkehendak, sifat melihat dan sifat berkata-kata yang dipakai
Allah atas diri kita, adalah menjadi tanda kebesaranNya atas diri kita supaya
kita memerhati dan melihatnya. Sifat-sifat tersebut bukannya sifat peribadi
kita tetapi sifat tersebut sebenarnya adalah hak kepunyaan mutlaq Allah Ta'ala.
Sifat yang kita pakai ini adalah
pinjaman semata-mata. Dari itu hendaklah kita sedar dan insaf akan hal itu.
Kesemua sifat-sifat tersebut adalah hak milik Allah dan kepunyaan Allah swt
yang sepatutnya dikembalikan semula kepada tuan yang empunya, sementara hayat
masih dikandung badan. Penzahiran sifat ma'ani (angin) atas makhluk (diri kita)
adalah sekadar pinjaman yang berupa pakaian sementara, yang akhirnya
dikehendaki kembali semula kepada tuan yang empunya. Allah tidak boleh diibarat
atau dimisalkan dengan sesuatu.
Maha suci Allah dari ibarat dan
misal.Segala misalan atau segala perumpamaan yang dinukilkan itu, hanya sekadar
mempermudahkan faham. Sifat ma'ani itu, adalah seumpama bayang-bayang, manakala
Allah Ta'ala itu, adalah seumpama tuan yang empunya bayang.
Firman Allah :
25.Surah Al-Furqān (ayat 45) bermksud:
"Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? -
bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika
Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak
berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan
perubahan bayang-bayang itu;
Maksud hadis:
"Allah Jadikan Manusia dalam
bayangNya"
Maksud bayang itu, adalah merujuk
kepada makhluk dan diri kita. Bayang (diri) sebenarnya tidak mempunyai apa-apa
sifat.Bayang hanya sekadar sifat yang menumpang dari yang empunya bayang. Bergeraknya
bayang adalah gerak daripada yang empunya bayang. Berdirinya bayang adalah
dengan berdirinya tuan yang empunya bayang (Allah). Mustahil bayang itu boleh
berdiri dengan sendiri tanpa kuasa dari yang empunya bayang (Allah). Bayang
dengan yang empunya bayang itu, mustahil bersatu dan mustahil bercerai.
Diri kita dengan wajah Allah itu,
adalah seumpama wujud bayang dengan yang empunya bayang atau seumpama bayangan
wajah di permukaan cermin. Sifat ma'ani itu tidak boleh berdiri dengan sendiri
tanpa bergantung dari sifat maknawiah. Hubungan antara sifat ma'ani dengan
sifat maknawiah itu, adalah seumpama hubungan antara bayang dengan yang empunya
bayang. Contohnya seumpama sifat mata dengan penglihatan, sifat telinga dengan
pendengaran dan sifat mulut dengan yang berkata-kata. Walau bagaimana keadaan
sekalipun, ianya tetap tidak boleh bercerai dan juga boleh bercantum. Inilah
yang dikatakan hubungan sifat ma'ani dengan sifat ma'anawiyah itu, bercantum
tidak bercerai tiada.
Maksud hadis:
"Tiada bercerai antara nafi dan
isbat, dan siapa-siapa ceraikan antara keduanya maka orang itu kafir
adanya"
Bayang bukan cahaya tapi tidak lain
dari cahaya. Cahaya bukan matahari tapi tidak lain dari matahari. Begitu
jugalah contohnya hubungan antara Allah dengan diri kita.Dari itu marilah kita
sama-sama mengambil faham dan insaf bahawa sifat yang kita miliki ini,
sebenarnya hak kepunyaan Allah, yang harus kita serah kembali kepada yang
empunya.
Tujuan mempelajari sifat ma'ani adalah
bertujuan supaya kita mengaku bahawa sebenarnya diri kita ini tidak ada, tidak
wujud dan terjadi. Yang wujud, yang ada dan yang terjadi adalah hanya
semata-mata Allah, seumpama sifat bayang, terzahirnya bayang itu, adalah bagi
tujuan menampakkan dan menyatakan sifat yang empunya bayang itu sendiri.
Di dalam keghairahan membicarakan soal
sifat ma'ani, harus diingat bahawa Allah tidak bertempat.Allah tidak menjelma
ke atas jasad.Allah tidak bertempat di dalam atau di luar badan, Allah tidak
bersatu, tidak bercantum dengan badan, Allah bukan kesatuan, Allah bukan
bersyarikat, bukan bercantum dengan jasad kita.Orang-orang yang mengaku bahawa
Allah menjelma di dalam jasad dan tidak kurang pula ada yang mengaku Tuhan dan
sebagainya. Sesungguhnya mereka-mereka itu, adalah tergolong di kalangan
mereka-mereka yang sesat dan sejahil-jahil manusia.
Allah tidak ada dalam diri kita,
tetapi kitalah yang ada dalam Allah. Bukan kita mengandungi Allah, tetapi
Allahlah yang mengandungi kita. Bukan kita yang meliputi Allah, tetapi Allahlah
yang meliputi kita. Kesemua sifat yang kita miliki ini adalah milik Allah,
sifat yang ada pada diri kita akan hancur, binasa dan hilang lenyap, sifat yang
kekal dan yang abadi itu, hanyalah Allah swt.
Firman Allah: Surah 28 Al-Qaşaş (ayat 88)
"Dan janganlah engkau menyembah tuhan
yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan
binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan
kepadaNyalah kamu semua dikembalikan".
Apa Hubungan Sifat Maani Dengan Roh?
Sifat ma'ani adalah wajah Allah yang
terzahir melalui sifat dan rupa paras roh, melalui sifat mata, mulut, telinga,
dan anggota tubuh seluruhnya. Sebagaimana rupa dan paras roh, sebegitulah wajah
ma'ani Allah, kerana rohlah sifat ma'ani Allah. Untuk melihat sifat ma'ani
Allah lihatlah pada wajah dan sifat rupa paras diri kita sendiri. Hubungan roh
dengan sifat ma'ani itu, seumpama sifat mata pada roh, penglihatan bagi Allah,
telinga pada roh, pendengaran bagi Allah dan begitulah seterusnya.
Apakah Hubungannya Sifat Ma'ani Dengan Kalimah
Syahadah?
Tujuan kita mempelajari dan mendalami
ilmu ma'ani itu, adalah untuk membawa kepada pemahaman kalimah syahadah.Tujuan
nafsiah membawa pengertian kepada kalimah "Laa" adalah kalimah bagi
menafikan kewujudan sifat makhluk. Manakala sifat ma'ani kalimah "Ila
ha" pula, bermaksud mengadakan atau mengiakan dan mengambil balik segala
apa yang kita telah tolak dalam kalimah "Laa". Jika dalam kalimah
"Laa" kita tolak semua sifat makhluk, manakala dalam kalimah
"Ila ha" pula, ianya kita adakan semula. Walaupun sifatnya
diadakannya kembali, ianya adalah sekadar sifat yang menumpang.
Jika dalam kalimah "Laa"
kita mengaku bahawa tidak ada lain, selain Allah, manakala dalam kalimah
"Ila ha" pula kita mengaku bahawa Allah telah menzahirkan makhluknya
melalui 7 sifatNya, seumpama sifat hidup, kuasa, berkehendak, mengetahui,
mendengar, melihat dan sifat berkata- kata. Walau bagaimana pun 7 sifat
tersebut di atas hanya sekadar sifat menumpang. Seumpama sifat sama' menumpang
sifat sami'un, sifat basar menumpang sifat basirun dan begitulah seterusnya.
Untuk dihubung kaitkan dengan kalimah
syahadah, kita hendaklah melihat sifat mata yang kita miliki, tidak berguna,
tanpa penglihatan Allah, telinga kita tidak akan bermakna tanpa pendengaran
Allah, mulut tidak bererti tanpa berkata-kata Allah, hidup tidak berguna tanpa
hidup Allah, akal tidak bererti jika tanpa ilmu Allah, anggota tidak bermakna
tanpa kuasa Allah. Segala-galanya yang ada pada kita bergantung dan menumpang
sifat Allah.
Semasa melafazkan kalimah "Ila
ha" dalam bersyahadah, kita dikehendaki mengingati diri kita bahawa sifat
yang ada pada diri dan yang kita bawa ini, tidak boleh berdiri sendiri,
hanyalah sekadar sifat yang menumpang dan bergantung kepada sifat Allah. Diri
kita tidak memiliki apa-apa. Kita tidak akan dapat melihat tanpa basirun Allah
dan kita tidak akan dapat mendengar tanpa samiun Allah. Dari kesedaran dan
keinsafan itu, membawa hati kita kepada suatu perasaan kosong, hiba, hina,
kerdil, miskin, kecil dan perasaan fakir di hadapan Allah. Inilah tujuan kita
mempelajari sifat ma'ani.
Diri kita ini sesungguhnya yatim piatu
yang tidak punya apa-apa. Ibu bapa, anak-isteri, kaum-keluarga, harta benda,
hidup mati dan kaya miskin itu, adalah hak Allah Ta'ala, yang boleh diambilnya
balik pada bila-bila masa. Yang kita miliki ini, adalah semata-mata hak
kepunyaan Allah. Di tangan Allahlah diri kita, segala kekuatan, kecantikan,
kekayaan dan kegagahan yang selama ini kita megah-megahkan itu, sebenarnya
adalah milik kepunyaan Allah. Dengan kefahaman bahawa, sifat diri kita ini,
sebenarnya mati dan menumpang. Seumpama sifat mata, telinga, mulut, tangan,
kaki dan seluruh anggota, menumpang wajah kebesaran Allah. Yang hendaknya
dikembalikan semula sifat itu kepada Allah.
Anggaplah diri kita ini, sudah mati,
binasa, hilang dan lenyap dalam wajah Allah. Yang kita miliki ini, semuanya
adalah hak Allah Ta'ala belaka. Hendaklah kita serah kembali kepada Allah. Kembalikan
sifat-sifat tersebut kepada Allah. Jadikanlah diri kita ini seumpama fakir,
muflis, hina, mati, binasa dan hilang dalam kekuasaan Allah. Inilah di antara
hikmah dan di antara intipati mempelajari sifat ma'ani dalam sifat 20.
Bagaimana Mengenal Allah Melalui Sifat Ma'ani?
Peranan sifat ma'ani hanya sekadar
menjadi saksi (kesaksian) Sifat ma'ani berperanan sekadar sifat menumpang. Seumpama
basar, hanya menumpang kepada sifat basirun. Telinga menumpang sifat sama',
manakala sama' pula menumpang sifat samiun. Lidah menumpang sifat kalam,
manakala kalam pula menumpang sifat mutakallimun. Sifat ma'ani adalah sifat
menumpang sifat ma’nawiyah (sifat kekuasaan Allah).
Dari kefahaman itu, dapatlah kita
tilik diri sendiri, betapa sifat yang ada pada diri kita ini, semuanya
kepunyaan Allah. Kita ada mata, tetapi Allah yang memiliki sifat penglihatan. Kita
ada telinga tetapi Allah yang memiliki sifat pendengaran. Kita ada mulut tetapi
Allah yang memiliki sifat berkata-kata. Begitulah seterusnya yang menggambarkan
bahawa diri kita ini adalah kepunyaan Allah.
Sifat ma'ani bertujuan supaya sifat
Allah dapat dilihat melalui pancaindera, pada roh dan pada diri kita sendiri. Allah
berilmu manakala diri pula bersifat mengetahui melalui akal.Allah berkudrat,
manakala diri pula bersifat berkuasa melalui panca indera.Allah beriradat,
manakala diri pula bersifat berkehendak (dapat berkeinginan melalui rasa).
Allah bersifat sama' manakala diri pula bersifat mendengar melalui telinga.
Allah bersifat basar manakala diri pula bersifat melihat melalui mata. Allah
bersifat kalam, manakala diri pula bersifat berkata-kata melalui lidah.
Jangan sekali-kali kita menjadi lupa
diri, bahawa semua sifat-sifat yang kita miliki ini, adalah kepunyaan Allah,
diri kita ini, hanya sekadar menumpang sifat Allah. Apabila kita faham sifat
ma'ani, dengan sendirinya membawa diri kita pulang ke pangkuan Allah dengan
tangan kosong, dengan menyerahkan segala sifat kepada Allah. Bahawasanya diri
kita ini, sebenarnya adalah kepunyaan dan milik Allah sepenuhnya secara mutlak.
Sifat yang kita pakai dan yang ada pada kita ini, seumpama sifat bayang
(menumpang yang empunya bayang).
Setelah kita sedar, bahawa sifat yang
kita pakai ini adalah sifat pinjaman dan menumpang sifat Allah, sebaiknya
kembalikanlah semua sifat-sifat itu kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba
memakai pakaian Allah, walaupun secara percuma atau secara pinjaman, kerana
kita tahu bahawa pakaian Allah itu, amat tidak layak untuk dipakai oleh kita.
Kita tidak layak memakai pakaian Allah dan kita tidak layak untuk menerima
pinjaman Allah. Pakaian Allah itu, Allahlah pemiliknya, Allahlah yang layak
memakainya.Sebenarnya kita ini, tidak punya apa-apa pakaian atau persalinan. Kita
ini adalah ibarat tangan kosong. Yang menjadi milik dan kepunyaan kita bukan
pakaian atau persalinan, yang menjadi milik dan kepunyaan kita yang mutlak,
adalah Allah itu sendiri.
Inilah konsep yang hendak
diketengahkan dan yang hendak diterapkan melalui sifat ma'ani.Konsep serta
kefahaman inilah yang benar-benar perlu kita fahami. Cuba fahami dan hayati
betul-betul sifat ma'ani yang tujuh itu, apabila kita telah kasyaf dalam
menghayati sifat ma'ani, di sinilah membawanya lebur dan terbakarnya sifat diri
yang palsu dan yang menumpang ini.
Bagi mereka-mereka yang mengenal
Allah, apabila dia cuba untuk memakai sifat Allah. maka hancur terbakarlah
anggotanya, lebur musnahlah sifat jasadnya. Mereka tidak sekali-kali berani
memakai sifat pakaian Allah. Pakaian Allah itu ada tujuh iaitu seumpama sifat
hidup, ilmu, kudrat, iradat, samak, basar dan kalam, manakala pakaian kita juga
tujuh seumpama;
1. Pakaian sifat mati (binasa)
2. Pakaian sifat bodoh dungu
3. Pakaian sifat lemah, lumpuh tidak berupaya
4. Pakaian sifat tidak berkemahuan, tidak
berkehendak
5. Pakaian sifat pekak dan tuli
6. Pakaian sifat buta
7. Pakaian sifat bisu
Inilah pakaian dan sifat-sifat yang
kita pakai serta pakaian mereka-mereka yang mengenal diri dan yang mengenal
Allah swt. Mereka ini beranggapan dan beriktikad bahawa, diri serta jasad
mereka sudah mati, tidak ada, lebur dan binasa. Mereka tidak lagi berakal,
tidak lagi mempunyai kekuatan, tidak lagi berkemahuan, tidak berpendengaran,
tidak lagi berpenglihatan dan tidak lagi bersuara diri lagi.Jasad mereka sudah
fana', sudah baqa' dan karam dalam wajah Allah swt.
Diri mereka tidak ubah seumpama mayat
yang hidup. Mereka tidak memakai pakaian Allah, mereka tidak meminjam pakaian
Allah, mereka tidak mengambil persalinan Allah, mereka tidak memakai apa-apa
yang menjadi hak Allah. Tidak layak bagi mereka untuk menerima apa-apa yang
menjadi milik Allah. Bagi mereka, segala-galanya adalah dari Allah, kepada
Allah dan berserta Allah. Baik di dalam tidur, dalam jaga, dalam gerak, dalam
tutur kata, dalam penglihatan, pendengaran, berkeinginan dan sebagainya,
semuanya milik Allah.
Bukan sifat mata yang mereka pandang,
tetapi penglihatan Allah, bukan sifat telinga menjadi tumpuan, tetapi
pendengaran Allah, bukan mulut menjadi keinginan, yang menjadi keinginan mereka
ialah suara (kata-kata) Allah.Yang berkeinginan dan berkehendak itu, adalah
Allah swt. Yang berkuasa dan berilmu itu adalah Allah. Inilah kaedah pegangan
iktikad orang makrifat, dalam menterjemah sifat ma'ani. Yang menjadikan hati
kita penuh yakin kepada Allah.
Tujuan sifat ma'ani diketengahkan
untuk dipelajari dan difahami, adalah untuk membawa kita kepada suatu keinsafan
diri, bahawa semua yang kita miliki dan yang ada pada diri kita ini, sebenarnya
adalah milik Allah. Setelah kita sedar yang segala-gala sifat itu menjadi milik
Allah, hendaklah kita kembalikannya semula kepada Allah. Seandainya yang
menjadi milik Allah itu telah kita serahkan semula kepada Allah, semasa hayat
masih dikandung badan dan semasa masih berada di dalam dunia, apabila kita
pulang ke rahmatullah kelak (setelah kita mati nanti), tidak ada apa-apa lagi
yang perlu ditanya, perlu dihisab dan perlu dipersoalkan oleh Malaikat Munkar
Dan Nakir.
Perkara yang membuat kita ditanya dan
disoal itu, adalah kerana hutang sifat kita semasa di dunia masih belum
dijelaskan, mereka yang belum melangsaikan pinjaman dan yang belum
mengembalikan hak Allah semasa hayat masih ada dan semasa masih hidup di dunia,
hutang sifat yang kita pinjam dari Allah, hendaklah dikembalikan semula kepada
Allah. Jika ianya dilangsaikan semasa di dunia, tidaklah ada lagi soal jawab
dari Munkar dan Nakir di dalam kubur.
Apa lagi yang Allah hendak tuntut, apa
lagi yang Allah hendak tagih dari kita, jika semuanya telah dikembalikan dan
diserahkan kepadaNya. Hidup dan mati kita telah kita serahkan kepada Allah,
jasad zahir dan batin telah dikembalikan kepada Allah. Apa lagi yang hendak
Allah dakwa! Apa lagi yang hendak Allah tuntut! Yang hendak Allah dakwa dan
tuntut itu, bagi mereka-mereka yang kembali ke pangkuannya dengan tidak
menjelaskan hutang sifat dan tidak mengembalikan hakNya. HakNya diambil pakai,
diambil guna, tapi tidak pandai untuk memulangkan dan tidak pula pandai
mengembalikannya semula kepada Allah.
Jika semuanya telah dikembalikan
kepada yang empunya, nescaya tidak ada lagi, tuntut menuntut, dakwa-dakwi dan
tidak lagi ada soal jawab kubur, malah di pintu syurgalah kita disambut oleh
Allah swt.
Inilah tujuan pengajaran sifat ma'ani
diperkenalkan.Ini adalah tujuan sifat ma'ani diketengahkan untuk diambil tahu
oleh sekalian kita. Dengan mempelajari sifat ma'ani, akan membawa kita tahu
untuk membezakan, yang mana hak kita dan yang mana hak Allah swt. Perhatikan
sekali lagi perkara ma'ani dan hendaknya kita hayati dan tilik dengan mata hati
yang kasyaf.
Selagi hayat masih dikandung jasad,
kita di kehendaki mengembalikan hak kepada yang berhak, nantinya bila tiba di
alam akhirat kelak, kita akan mendapat layanan dan sambutan yang istimewa dari
penguasa langit, lain dari yang lain. Kita akan ditempatkan bersama orang yang
sempurna lagi terpuji. Roh orang-orang sebeginilah dinamakan roh mutmainnah,
roh yang diterima Allah. Tempat kita itu, adalah di sisi Allah, bukannya di
sisi tanah yang mengandungi ulat dan cacing.
Roh sebeginilah yang dikatakan roh
yang suci bersih, roh yang sentiasa disertai air sembahyang, roh yang sentiasa
diiringi dengan kalimah syahadah.Inilah roh mereka-mereka yang mati sebelum
mati dan roh mereka-mereka yang mengenal diri semasa di dunia. Inilah yang
dikatakan roh yang mengenal tuannya. Tuan yang empunya roh itu, tidak lain dan
tidak bukan hanya Allah swt yang satu lagi esa. Inilah penjelasan dan kupasan
tentang kefahaman ilmu mengenal Allah (makrifat) melalui pelajaran sifat ma'ani
dalam sifat 20, yang bukan sahaja setakat tahu makna tetapi hendaklah dihayati
dengan isi di sebaliknya.
bersambung...