Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini

Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini!

Wednesday, December 13, 2023

Awaluddin Ma`rifatullah (Awal Agama Mengenal Allah)

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi Allah Tuhan yang menciptakan kita sebagai makhluk diatas muka bumi ini, Dia (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di alam ini dengan hebat dan sempurna.

Permulaan agama adalah mengenal Allah SWT dan didalam bahasa Arab atau bahasa Al Quran adalah disebut sebagai Awalluddin Ma`rifatullah.

Mengenai Ilmu Tauhid atau pun dikenali sebagai Ilmu Usulluddin. Didalam ajaran Islam, secara umumnya ilmu-ilmu yang  penting itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

1.   Usuluddin adalah membicarakan mengenai persoalan aqidah

2.   Feqah adalah ilmu yang membicarakan tentang persoalan hukum syarak

3.   Tasawuf  adalah membicarakan tentang persoalan akhlak islamiyah.

Disini ingin ditegaskan bahawa tiga serangkai ilmu tersebut tidak boleh dipisahkan. Jika dipisahkan salah satu daripada tiga serangkai ilmu tersebut, maka rosaklah yang lain, orang selalu mengatakan irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, jika dipisahkan sumbang lagu itu, begitu juga dengan 3 serangkai ilmu tadi, jika dipisahkan turut juga menjadi sumbang. Apabila sumbang, maka rosaklah islam kita sebagai muslim samada Fasiq ataupun jatuh kepada Kufur tanpa disedari.....Na`uzubillah minzalik

Ketiga-tiga ilmu ini adalah diibaratkan seperti bangunan. Usulluddin itu adalah asas dan tapaknya, bangunan rumah dan peralatan rumah itulah syariat dan akhlak..justeru itu, bangunan rumah dan peralatan rumah tidak dapat ditegakkan jika tapak/asasnya tidak ada, dalam erti kata lain, usulluddin itu tapak asas sebagai seorang muslim, syariat dan tasawuf itu adalah furu` atau cabang yang mencantikkan islam seseorang itu. Syariat dan akhlak tiada nilai kalau aqidah seseorang itu rosak. Rasulullah saw pernah bersabda:  Awaluddin ma`rifatrullah. maksudnya: permulaan agama (Islam) itu adalah Mengenal  Allah.

Dengan demikian, ilmu usulluddin itu tidak boleh diabaikan daripada mempelajarinya kerana ia merupakan ilmu untuk kita memperteguhkan keyakinan dan kemantapan aqidah di hati tanpa dipengaruhi unsur syak, waham, zhan dan jahil.  Sebagai contoh: Rasulullah saw merupakan orang  yang mempunyai kekuatan aqidah yang hebat, oleh itu kita dapat lihat disini, syariat dan akhlak yang dibawa oleh Rasulullah itu juga cantik dan sempurna.

Segala ibadah dan amalan kita adalah merupakan persembahan kita yang akan kita berikan kepada Allah SWT.  dalam konteks awaluddin ma`rifatullah, jika amal, jika kita melakukan ibadah kita tanpa kita kenal Allah SWT, maka hadiah yang akan kita berikan itu tidak akan sampai kepadaNya. Ibarat kita ingin memberi surat kepada seorang raja, tetapi kita tidak tahu yang mana satu raja itu, maka surat itu tidak akan sampai kepada raja tersebut. Mungkin kita akan berikan kepada pembesar istana yang kita anggapkan sebagai raja.

Begitulah juga ibadah kita seperti solat, puasa, zakat, jihad dan sebagainya akan sampai kepada Allah jika kita benar-benar mengenali Allah dengan sungguh-sungguh. Mengenali Allah ini amat penting kerana jika tidak mengenali Allah, bimbang dan takut segala amal kita tidak sampai kepada Allah. Malah segala ibadah kita hanya ditipu oleh Syaitan yang akan sentiasa menyesatkan kita.

Wallahu'alam