Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini

Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini!

Monday, August 17, 2020

Asas Aqidah Islam

 Bersambung dari siri 4/2020

2.   Tidur  duduk yang tidak tetap , membatalkan wuduk tetapi  tidur dengan duduk  (punggung menekan pada tempat duduk) tidak membatalkan wuduk

3.   Hilang akal kerana mabuk atau sakit

4.   Bersentuhan antara lelaki dengan perempuan (atau sebaliknya) yang bukan mahaim dan tanpa berlapik

5.   Menyentuh kemaluan dengan tapak tangan

Fardhu dalam fardhu  - Apakah yang dikatakan 'fardhu dalam fardhu'? Yang dikatakan fardhu dalam fardhu itu adalah terdiri 13 Rukun solat iaitu:

1.                   Niat.

2.                   Takbiratul Ihram.

3.                   Berdiri bagi yang mampu.

4.                   Membaca surah Al-fatihah.

5.                   Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).

6.                   Iktidal dengan tama'ninah.

7.                   Sujud dua kali, dengan tama'ninah.

8.                   Duduk di antara dua sujud dengan tama'ninah.

9.                   Tasyahhud Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.

10.               Duduk dalam Tasyahhud akhir.

11.               Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir.

12.               Membaca salam

13.               Tertib.

Rukun solat 13 perkara itu terbahagi kepada empat (4) bahagian iaitu:

A.                  Rukun Qalbi – Niat

B.                  Rukun Qauli – Takbiratul Ihram, Membaca fatihah. Membaca tahiyat akhir. Selawat atas nabi didalam tasyahhud (tahiyat) akhir, salam yang pertama.

C.                  Rukun Fiqli – berdiri betul Ruku’ I’tidal Sujud Duduk antara dua sujud Duduk membaca tahiyat akhir

D.                  Rukun Ma’nawi - Tertib

Pada mazhab Maliki dan Hanafi, bacaan fatihah rukun bagi solat perseorangan sahaja. (Tidak rukun bila solat Jemaah), bila imam membaca Al Fatihah makmum dengar sahaja, berdasarkan Al-Quran surah ke 7 Al A'raf ayat 204

“Dan apabila dibacakan Al-Qur’an, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat” (Al A’raf 7: ayat 204)

Dalam solat, seseorang itu bila solat - Mesti ada ilmu – bila ada ilmu baru datang iradah – bila datang iradah baru datang Qudrat dan Sama’. Pintu masuk solat adalah Takbirrahtul ihram (rukun qauli – keluarkan suara). Berkata- kata – Kalam disaksi oleh suara, segala-galanya disaksi oleh mata . Dosa paling besar ialah syirik – Allah akan mengampun segala dosa kecuali syirik .Oleh itu, Allah hendaklah ditauhidkan jangan di syirikkan. Ibadah dikerjakan dengan ikhlas dan tawadhuk

Setiap perbuatan kita, untuk memulakan solat adalah dimulakan dengan Niat – Niat solat mengandungi tiga:

1.    Qasad

2.    Ta’arad

3.   Ta’yin

Apa yang dikatakan Qasad?

Adapun qasad itu menyatakan niat. Adapun yang sebenar-benar niat itu yang tiada dengan huruf dan suara, inilah yang sebenar-benar niat, yang ada huruf dan suara itu bukanlah niat.

Apa yang dikatakan Ta’arad?

Adapun ta’arad itu yang menyatakan fardhu. Adapun yang sebenar-benar fardhu itu Tajalli Sifat Allah.

Apa yang dikatakan Ta’yin?

Adapun ta’yin itu menyatakan waktu. Adapun yang sebenar-benar nyata itu, nyata Af’al Allah pada jasad Adam tubuh yang kasar inilah yang sebenar-benar ta’yin dan dalilnya ‘adalah niat itu dengan tiada huruf dan tiada dengan suara’

Sesudah nyata Qasad, Ta’arad dan Ta’yin bererti telah nyatalah:

1.        Kiblat dada – Baitullah

2.         Kiblat hati – Allah SWT

3.         Zat memandang zat - sifat memandang sifat, barulah mengatakan Allahu Akbar serta hadir matahati musyahadah kepada zat Allah. Ini dikatakan NIAT

Kesempurnaan niat

·         Tempat di hati

·         Tempat syarat dan rukun pada anggota adalah

    - Qalbu (hati)

    - Fiqli (perbuatan)

    - Qauli (perkataan)

 

Bersambung…….

mobima

Friday, August 14, 2020

Asas Aqidah Islam

Bersambung dari siri 3/20

 Kesempurnaan Solat

Perlu diingatkan bahawa sebelum kita mendirikan solat, hendaklah terlebih dahulu kita mengetahui dan mempelajari terlebih dahulu perkara seperti berikut:

1) fardhu sebelum fardhu (Sembahyang sebelum sembahyang atau solat sebelum solat)

2) fardhu didalam fardhu (Sembahyang semasa sembahyang atau  solat semasa solat)

3) fardhu sesudah fardhu (Sembahyang sesudah sembahyang atau solat sesudah solat)

Sesudah kita benar-benar tahu akan ketiga-tiga perkara di atas, barulah boleh dikatakan yang kita ini benar-benar solat. Barang siapa yang berhajat untuk mengetahuinya, mari kita sama-sama ikuti pelajaran ilmu ini.

Fardhu sebelum Fardhu - Diantara beberapa perkara mesti diketahui antaranya:

1.  Tahu masuk waktu iaitu masuk waktu dengan yakin (subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak)

2.  Tahu arah kiblat

3.  Tutup aurat

4.   Mengetahui kaifiat solat

5.   Syarat sah solat

6.   Suci dari najis yang dimaafkan

7.   Meninggalkan atau melebihi rukun fiqli dengan sengaja

      - Anggota berat mengerakkan 3 kali berturut – batal

      - Anggota ringan (kecil) lebih dari 3 kali – tidak batal

8.   Jangan melakukan perbuatan yang  boleh membatalkan solat

9.   Kebersihan (toharah) diri sendiri, ditempat solat, pakaian dll

10. Mengambil wuduk

 Cara Mengambil Wuduk

Wuduk dalam bahasa Melayu bererti mengambil air sembahyang. Mengikut bahasa ertinya ialah menggunakan air untuk kegunaan anggota yang tertentu manakala daripada sudut syariah bermakna beberapa perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat.

 Fardhu wuduk (enam perkara)

1. Niat – mengangkat hadas kecil atau niat mengharuskan (membolehkan) solat atau sebagainya atau niat menunaikan fardhu wuduk

Lafaz niat (dalam bahasa Melayu)

i.      Sahaja aku mengangkat hadis yang kecil kerana Allah Taala

ii.     Sahaja aku berwuduk kerana Allah Taala

iii.    Sahaja aku mengangkat hadis yang kecil fardhu atasku kerana Allah Taala

2.  Membasuh muka – sempadan muka yang wajib dibasuh ialah dari tempat tumbuh rambut di atas kepala hingga penghujung tempat tumbuh janggut, melintang pula antara dua anak telinga dan wajib menyampaikan air ke seluruh tempat dan juga bulu termasuk bulu mata, misai, janggut dan sebagainya. Wajib juga melebihkan basuhan di atas kepala, ke telinga dan juga dibawah dagu

3.   Membasuh kedua-dua tangan hingga kedua siku didahului dengan tangan kanan– maksudnya bukan sahaja sampai ke siku tapi hendaklah dilebihkan sedikit ke atas siku dan celahan di anak-anak jari

4.   Menyapu sedikit air dibahagian kepala – memadai dengan menyapu sedikit air sahaja ke bahagian kepala 

5.   Membasuh 2 kaki hingga dua buku lali didahului kaki kanan – wajib membasuh ke atas sedikit daripada buku lali dan wajib juga menyampaikan air ke dalam bahagian kuku dan celahan diantara anak-anak jari kaki.

6.  Tertib – dahulukan mana yang sepatutnya didahulukan

Syarat sah wuduk ada lima iaitu:

1.                  Islam

2.                  Tamyiz (sudah berakal)

3.                  Airnya suci

4.                  Tidak ada halangan batin (seperti akan tidak sihat)

5.                  Tidak ada halangan dari agama (seperti sedang haid, nifas)

Sunat wuduk

1.                  Membaca Bismillah ketika mula berwuduk

2.                  Membasuh kedua-dua telapak tangan sebelum berwuduk sebab kemungkinan ada najis atau kotoran

3.                  Berkumur

4.                  Membasuh dan memasukkan air didalam lubang hidung

5.                  Meratakan air ketika membasuh kepala

6.                  Membasuh kedua-dua belah telinga

7.                  Membasuh janggut yang tebal

8.                  Membasuh celah jari tangan dan kaki

9.                  Mendahulukan anggota kanan daripada yang kiri

10.              Bersuci (membasuh) tiga kali setiap anggota

Perkara yang membatalkan wuduk

1.     Keluarnya sesuatu dari dubur. Kalau satu daripada dubur mengeluarkan sesuatu, maka  wuduk menjadi batal

Bersambung…..

Asas Aqidah Islam

 bersambung dari siri 2

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam atas Junjungan kita Nabi Besar Muhammad saw, saya bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw pesuruh Allah.

Kita mengetahui betapa besarnya Qudrat Allah dan IradatNya ke atas makhluk dilangit dan dibumi. Oleh itu, wajiblah kita merasa gerun dan gentar akan kebesaran Allah Swt. Marilah kita sama-sama meng’esa’kan Tuhan yang satu dan  ingatlah pesan Nabi Muhammad saw junjungan umat Islam,

    ‘Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan’

Di sini telah jelas dan nyata bahawa agama Islam itu, solat adalah perkara utama dan sering dipesan oleh Rasulullah saw supaya tidak meninggalkan solat.

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa bab Solat adalah merupakan Rukun Islam yang ke-2 selepas mengucap dua kalimah syahadah. Solat juga menjadi ibadah utama yang akan ditanya dan akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat nanti. Bila mana baik amalan solat kita maka beruntunglah kita kelak dan begitu juga sebaliknya.

Solat yang khusyuk bolehlah diertikan solat yang sempurna zahir dan batin. Ketika jasad menghadap Allah, hati juga menghadap Allah. Ketika jasad tunduk menyembah Allah, hati juga tunduk menyembah Allah. Ketika mulut menyebut Allahu Akbar, hati juga mengaku Allah Maha Besar. Ketika jasad sujud menghina diri, hati juga menyungkur menghina diri. Ketika mulut memuji mengagungkan Allah dan berdoa kepada Allah, hati juga memuja, merintih dan karam dalam penyerahan pada Allah.

Telah bertanya Jibril pada Nabi SAW: ‘khabarkan padaku apa itu Ihsan?’ dijawab oleh Baginda, ‘Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika tidak, yakinlah bahawa Dia (Allah) melihat engkau’.

Jika dapat dihayati solat itu, sebagaimana yang dianjurkan di atas, kesannya cukup besar pada jiwa manusia. Iman akan bertambah disamping bertambahnya rasa tawakkal, syukur, redha, sabar dan lain-lain sifat Mahmudah.

Cukuplah sedikit rakaatnya asal khusyuk daripada banyak tetapi lalai. Sebab perkara yang menjadi matlamat ibadah ini ialah membuahkan iman dan akhlak manusia. Kalau banyak pun rakaatnya tetapi dikerjakan dengan yang hati lalai, maka bukan sahaja iman dan akhlak tidak bertambah, malah ia menjadi sia-sia.

Mungkin pahalanya Allah berikan juga, tetapi banggakah kita kalau perniagaan yang kita buat hanya mengembalikan modal, langsung tidak untung? Solat yang lalai tidak akan menambah iman dan menguatkan jiwa sebaliknya meletihkan badan sahaja. Dipadang mahsyar nanti, Allah akan memanggil manusia-manusia yang solat untuk diperiksa solatnya. Waktu solat akan dikategorikan pada lima peringkat:

 

1.    Solat orang jahil

2.    Solat orang lalai

3.    Solat orang yang lalai separuh khusyuk

4.    Solat orang khusyuk

5.    Solat Nabi-Nabi dan Rasul

Berikut adalah huraian jepada solat-solat di atas

 

1. Solat orang jahil ialah solat yang dilakukan oleh orang yang tiada ilmu tentang solat. Dia tidak tahu tentang rukun dan sunat dan dibuat tanpa peraturan yang telah ditetapkan syariat. Kerana itu awal-awal lagi ia ditolak malah ia berdosa kerana tidak belajar.

 

2. Solat orang lalai ialah solat yang sempurna zahirnya tetapi tidak hadir langsung dalam solat. bermacam-macam perkara yang diingatkan sewaktu berdiri, rukuk, sujud dan duduk dalam solatnya itu, dari awal hingga akhir solat sedikit pun tidak mengingati Allah. Solat jenis ini diganjarkan dengan dosa bukan pahala. Allah berfirman’ neraka wail bagi orang yang solat… yang mereka itu lalai dalam solatnya’.

 

3. Solat yang ketiga ialah solat yang didalamnya berlaku tarik menarik dengan syaitan. Maknanya orang itu sentiasa berjaga bila syaitan mula melalaikannya dari Allah, cepat-cepat dikembalikan ingatannya pada Allah. Begitulah berlaku hingga akhir solat. Ada waktu lalai dan ada waktu khusyuk. Solat ini tidak berdosa tetapi tidak juga berpahala, cuma orang itu dimaafkan.

 

4.  Solat orang khusyuk ialah solat orang yang sepanjang solatnya itu penuh ingatan pada Allah dan juga apa yang dibacakannya dalam solat. Orang ini dapat merasakan yang dia sedang menghadap Allah, maka perhatian hanya pada Allah, memohon ampun pada Allah, berdoa pada Allah menghina diri pada Allah dan mengagungkan Allah. Solat beginilah yang akan menghapuskan dosa memperbaharui ikrar menguatkan iman, mendekatkan hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Itulah keuntungan didunia dan di akhirat Allah menganugerahkan pahala dan syurga yang penuh kenikmatan.

 

5. Solat yang kelima ialah peringkat tertinggi iaitu solat para Nabi dan Rasul. Mereka ini luar biasa khusyuknya. Mereka benar-benar nampak Allah dengan matahati. Sebab itu solat mereka seakan-akan berbual-bual dengan Allah. Sebab itu mereka tidak pernah jemu. Bagaimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya. Begitulah indahnya perasaan mereka ini dalam solat. Salah satu perkara utama yang disukai oleh Rasulullah SAW ialah ‘solat penyejuk mataku’ sabda baginda. Syurga yang Allah anugerahi pada mereka ialah syurga yang tertinggi yang tidak tercapai oleh orang-orang awam seperti kita.

Jadi, tugas kita sekarang ialah memperbaiki solat disamping memperbanyakkannya. Untuk itu kita perlu mujahadah dan dengan mujahadahlah kita mungkin dapat mempertingkatkan iman dan membanyakkan amalan soleh. Dan hanya dengan iman dan amal soleh sahajalah kita dapat membina dan mencantikkan rumah kita di akhirat.

Bertaqwalah  kepada  Allah SWT dan  mengharapkan  petunjukNya, disamping berdoa agar dipermudahkan diri kita untuk mendekatiNya. Semoga usaha seharian kita mendapat rahmat Allah SWT sehingga akhirnya ditempatkan kita didalam syurga nanti.

Wallahualam…

 bersambung……

Thursday, July 30, 2020

Asas Aqidah Islam (sambungan)

bersambung dari siri 1

Pada kali ini kita sambung dari keluaran siri 1 yang lepas mengenai sifat 20. Sifat 20 ini adalah Sifat Ketuhanan dimana ia terbahagi kepada 4 bahagian iaitu:

 1. Sifat Nafsiyah – Wujud (1)

2. Sifat Salbiyah – Qidam, Baqa’, Mukhalafatuhu lilhawadis, Qiamuhu binafsih, Wahdaniyah (5)

3. Sifat Ma’ani – Qudrat, Iradat, Sama’, Basar, Ilmu, Hayat, Kalam (7)

4. Sifat Ma’nawiyah – Qadirun, Muridun, Samiun, Basirun, Alimun, Hayyun, Mutakallimun (7)

 Huraian Sifat Ketuhanan secara ringkas

 

1.   SIFAT NAFSIYAH -  Sifat yang terkandung didalam sifat nafsiah, hanya satu iaitu sifat wujud. Wujud yang membawa maksud ada. Adanya Allah itu, meliputi segala yang zahir mahupun yang batin. Apakah yang dimaksudkan sifat nafsiah (menolak)? Sifat nafsiah itu, bermaksud menafikan kewujudan yang lain selain Allah. Hanya Allah sahaja yang ada dan hanya Allah sahaja yang wujud. Wujudnya Allah itu, adalah wujud yang disertai sekali dengan zat, sifat, af'al dan asma'Nya.  Zat Allah itu merupakan sifatNya dan sifat Allah itu adalah juga merupakan zatNya. 

 

2.  SIFAT SALBIYAH - Sifat salbiah itu merujuk kepada kesempurnaan Allah. Kesempurnaan dalam kebesaran, keagungan, kesucian, ketinggian dan kekuasaanNya dalam segala-galanya. Lengkap yang tidak ada yang kurang, gagah yang tidak ada yang lemah, suci yang tidak ada yang kotor dan sebagainya. Tiada bandingan dengan selainNya. Inilah pengertian salbiah.

 

3.   SIFAT MA'ANI  - Pengertian sifat ma'ani adalah membawa maksud "PERGANTUNGAN". Ma'ani adalah sifat yang menumpang kepada sifat lain, seumpama sifat hidup yang bergantung kepada sifat haiyun, seumpama sifat basar, yang bergantung kepada sifat basiron dan sebagainya. Sifat ma'ani adalah sifat yang bergantung kepada sifat maknawiyah. Tanpa maknawiyah sifat ma'ani tidak berfungsi. Berfungsinya sifat ma'ani adalah dengan kerana limpahan rahmat dari sifat maknawiyah (kuasa Allah). Sifat ma'ani itu, bergantung dan menumpang sifat maknawiyah.

 

4.  SIFAT MA’NAWIYAH - Pengertian sifat maknawiyah itu, membawa maksud sifat kekuasaan Allah, menjadi tempat pergantungan segala rupa (sifat), nama (asma'), berperangai (fe'el) dan pergantungan segala berzat (roh) kepadanya. Ma’nawiyah adalah tempat bergantungnya sifat ma'ani. Contohnya, bergantungnya sifat mendengar kepada pendengaran Allah, bergantung sifat melihat kepada penglihatan Allah dan begitulah seterusnya. Seumpama sifat cahaya (ma'ani) yang bergantung harap kepada sifat matahari (ma’nawiyah).

Begitu jugalah hubungan di antara sifat maknawiyah dengan sifat ma'ani, sebagaimana sifat ma'ani, sebegitulah rupanya sifat ma’nawiyah. Sebagaimana ciptaan, demikianlah penciptanya. Sebagaimana hasil, demikianlah acuannya. Sebagaimana yang awal demikianlah akhirnya, semuanya itu, adalah satu dari segi zatnya, cuma berbeza pada panggilan nama. Sifat Allah dengan hasil nukilannya seumpama bercerai tidak, bersatu tiada. Pencipta (zat) dan ciptaan (sifatnya) adalah satu. Sifat bukan zat tetapi tidak lain dari zat. Sifat ma'ani dengan sifat ma’nawiyah, seumpama wajah orang yang menilik, dengan bayangan wajah di dalam cermin. Sifat ma’nawiyah bermaksud menggambarkan kekuasaan Allah dan kehebatan kekuasaannya. Begitulah secara ringkas keterangan di atas mengenai Rukun Iman yang pertama Kepercayaan kepada Allah, sekarang kita masuk bab rukun Islam, yang pertama iaitu Mengucap Dua Kalimah Syahadah.

Kalimah syahadah pertama adalah kalimah Tauhid mengenai sifat-sifat Ketuhanan sebagaimana yang telah dijelaskan pada siri 1 yang mengandungi 20 sifat wajib, 20 sifat mustahil dan satu sifat harus berjumlah 41 sifat.

Kalimah kedua adalah kalimah Rasul seperti keterangan berikut:

Sifat-Sifat KeRasulan – ada pun sifat yang wajib bagi Rasul ada 4 wajib, 4 mustahil dan satu (1) harus adalah seperti yang dinyatakan dibawah

 

Bil

Wajib

Makna

Mustahil

Makna

1

Siddiq

Benar

Qizib

Dusta

2

Amanah

Jujur

Khianat

Tiada kepercayaan

3

Tabligh

Menyampaikan

Qitman

Menyembunyikan

4

Fathonah

Cerdik, Bijaksana

Balaadah

Bodoh

Sifat Harus - Harus bagi Rasul memiliki sifat yang dimiliki oleh manusia biasa yang tidak menjejaskan dan membawa kekurangan pada martabat dan kewibawaan mereka sebagai seorang Rasul seperti makan, minum, berkahwin, sakit, tidur dan seumpamanya.

Oleh kerana ruangan ini yang begitu terhad, kita tidak dapat mengupas dan menghuraikan satu  persatu dalam sifat 20 Allah Taala secara detail bermula dari sifat Wujud hingga sifat Mutakallimun. Begitu pun juga mengenai sifat-sifat Kerasulan yang 4 wajib, 4 mustahil dan satu harus. Insya’Allah dikesempatan yang lain kita akan terangkan kemudian.

Rukun Islam kedua ialah sembahyang (solat) 5 waktu sehari semalam. Semua diantara kita sudah cukup mengetahui sebenarnya solat 5 waktu tersebut. Solat tersebut adalah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.  Siri akan datang, bagaimanakah rukun iman, dapat kita bawakan dalam solat seharian?

Rujukan:

1.    Hadith 40 – Mustafa Abdul Rahman

2.   Aqidatun Najim (Akidah Kaum Terselamat Dari Sesat dan Bid’ah) -  Zainal Abidin Muhammad Al-   Fathani)

3.    Kunci Memahami Ilmu Tasawuf – Dr Mustafa Zahri

4.    Kelas Tauhid – Al Fadil Ustaz Hj Arifin Harun

5.    Risalah Tauhid (Jawi) – Abd Ghani Yahya dan Omar Yusof

 Bersambung…..