Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini

Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini!

Friday, August 14, 2020

Asas Aqidah Islam

 bersambung dari siri 2

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam atas Junjungan kita Nabi Besar Muhammad saw, saya bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw pesuruh Allah.

Kita mengetahui betapa besarnya Qudrat Allah dan IradatNya ke atas makhluk dilangit dan dibumi. Oleh itu, wajiblah kita merasa gerun dan gentar akan kebesaran Allah Swt. Marilah kita sama-sama meng’esa’kan Tuhan yang satu dan  ingatlah pesan Nabi Muhammad saw junjungan umat Islam,

    ‘Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan’

Di sini telah jelas dan nyata bahawa agama Islam itu, solat adalah perkara utama dan sering dipesan oleh Rasulullah saw supaya tidak meninggalkan solat.

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa bab Solat adalah merupakan Rukun Islam yang ke-2 selepas mengucap dua kalimah syahadah. Solat juga menjadi ibadah utama yang akan ditanya dan akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat nanti. Bila mana baik amalan solat kita maka beruntunglah kita kelak dan begitu juga sebaliknya.

Solat yang khusyuk bolehlah diertikan solat yang sempurna zahir dan batin. Ketika jasad menghadap Allah, hati juga menghadap Allah. Ketika jasad tunduk menyembah Allah, hati juga tunduk menyembah Allah. Ketika mulut menyebut Allahu Akbar, hati juga mengaku Allah Maha Besar. Ketika jasad sujud menghina diri, hati juga menyungkur menghina diri. Ketika mulut memuji mengagungkan Allah dan berdoa kepada Allah, hati juga memuja, merintih dan karam dalam penyerahan pada Allah.

Telah bertanya Jibril pada Nabi SAW: ‘khabarkan padaku apa itu Ihsan?’ dijawab oleh Baginda, ‘Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika tidak, yakinlah bahawa Dia (Allah) melihat engkau’.

Jika dapat dihayati solat itu, sebagaimana yang dianjurkan di atas, kesannya cukup besar pada jiwa manusia. Iman akan bertambah disamping bertambahnya rasa tawakkal, syukur, redha, sabar dan lain-lain sifat Mahmudah.

Cukuplah sedikit rakaatnya asal khusyuk daripada banyak tetapi lalai. Sebab perkara yang menjadi matlamat ibadah ini ialah membuahkan iman dan akhlak manusia. Kalau banyak pun rakaatnya tetapi dikerjakan dengan yang hati lalai, maka bukan sahaja iman dan akhlak tidak bertambah, malah ia menjadi sia-sia.

Mungkin pahalanya Allah berikan juga, tetapi banggakah kita kalau perniagaan yang kita buat hanya mengembalikan modal, langsung tidak untung? Solat yang lalai tidak akan menambah iman dan menguatkan jiwa sebaliknya meletihkan badan sahaja. Dipadang mahsyar nanti, Allah akan memanggil manusia-manusia yang solat untuk diperiksa solatnya. Waktu solat akan dikategorikan pada lima peringkat:

 

1.    Solat orang jahil

2.    Solat orang lalai

3.    Solat orang yang lalai separuh khusyuk

4.    Solat orang khusyuk

5.    Solat Nabi-Nabi dan Rasul

Berikut adalah huraian jepada solat-solat di atas

 

1. Solat orang jahil ialah solat yang dilakukan oleh orang yang tiada ilmu tentang solat. Dia tidak tahu tentang rukun dan sunat dan dibuat tanpa peraturan yang telah ditetapkan syariat. Kerana itu awal-awal lagi ia ditolak malah ia berdosa kerana tidak belajar.

 

2. Solat orang lalai ialah solat yang sempurna zahirnya tetapi tidak hadir langsung dalam solat. bermacam-macam perkara yang diingatkan sewaktu berdiri, rukuk, sujud dan duduk dalam solatnya itu, dari awal hingga akhir solat sedikit pun tidak mengingati Allah. Solat jenis ini diganjarkan dengan dosa bukan pahala. Allah berfirman’ neraka wail bagi orang yang solat… yang mereka itu lalai dalam solatnya’.

 

3. Solat yang ketiga ialah solat yang didalamnya berlaku tarik menarik dengan syaitan. Maknanya orang itu sentiasa berjaga bila syaitan mula melalaikannya dari Allah, cepat-cepat dikembalikan ingatannya pada Allah. Begitulah berlaku hingga akhir solat. Ada waktu lalai dan ada waktu khusyuk. Solat ini tidak berdosa tetapi tidak juga berpahala, cuma orang itu dimaafkan.

 

4.  Solat orang khusyuk ialah solat orang yang sepanjang solatnya itu penuh ingatan pada Allah dan juga apa yang dibacakannya dalam solat. Orang ini dapat merasakan yang dia sedang menghadap Allah, maka perhatian hanya pada Allah, memohon ampun pada Allah, berdoa pada Allah menghina diri pada Allah dan mengagungkan Allah. Solat beginilah yang akan menghapuskan dosa memperbaharui ikrar menguatkan iman, mendekatkan hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Itulah keuntungan didunia dan di akhirat Allah menganugerahkan pahala dan syurga yang penuh kenikmatan.

 

5. Solat yang kelima ialah peringkat tertinggi iaitu solat para Nabi dan Rasul. Mereka ini luar biasa khusyuknya. Mereka benar-benar nampak Allah dengan matahati. Sebab itu solat mereka seakan-akan berbual-bual dengan Allah. Sebab itu mereka tidak pernah jemu. Bagaimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya. Begitulah indahnya perasaan mereka ini dalam solat. Salah satu perkara utama yang disukai oleh Rasulullah SAW ialah ‘solat penyejuk mataku’ sabda baginda. Syurga yang Allah anugerahi pada mereka ialah syurga yang tertinggi yang tidak tercapai oleh orang-orang awam seperti kita.

Jadi, tugas kita sekarang ialah memperbaiki solat disamping memperbanyakkannya. Untuk itu kita perlu mujahadah dan dengan mujahadahlah kita mungkin dapat mempertingkatkan iman dan membanyakkan amalan soleh. Dan hanya dengan iman dan amal soleh sahajalah kita dapat membina dan mencantikkan rumah kita di akhirat.

Bertaqwalah  kepada  Allah SWT dan  mengharapkan  petunjukNya, disamping berdoa agar dipermudahkan diri kita untuk mendekatiNya. Semoga usaha seharian kita mendapat rahmat Allah SWT sehingga akhirnya ditempatkan kita didalam syurga nanti.

Wallahualam…

 bersambung……

No comments: