Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini

Terima Kasih Kerana Melawat Blog Ini!

Tuesday, June 9, 2026

Peringkat-Peringkat Mengenal Allah Bhg.3

Bhg. 3

Hukum ‘Aqli

Hukum ‘aqli adalah hukum  yang mematutkan sesuatu mengikut ilmu tauhid. Hukum ‘aqli  ini dibahagikan kepada tiga bahagian:

 

·         Wajib ‘aqli

·         Mustahil ‘aqli

·         Harus ‘aqli 

Wajib ‘aqli terbahagi kepada dua iaitu:

 

·         Dharuri (senang dan mudah) – iaitu menerima ketetapan tanpa bahas dan dalil, umpamanya ‘ibu jari tangan lebih pendek dari jari telunjuk’.

 

·         Nadzari – iaitu menerima ketetapan yang memerlukan bahas dan dalil, umpamanya “makanan yang terhidang – ianya tidak akan ada dan sedia terhidang dengan sendirinya, pasti ada sesiapa yang memasak, yang menyedia dan yang menghidangkannya”. 

Mustahil ‘aqli juga terbahagi kepada dua:

 

·         Dharuri – menolak ketetapan tanpa bahas dan dalil, umpamanya, “ibu jari mempunyai tiga ruas manakala jari telunjuk mempunyai dua ruas”.

 

·         Nadzari – menolak ketetapan tetapi memerlukan bahas dan dalil umpamanya, “cahaya kilat itu adalah cahaya letrik”. Menolak ketetapan ini memerlukan bahas dan dalil. 

Harus ‘aqli juga terbahagi kepada dua iaitu:

 

·         Dharuri – menolak ketetapan tanpa bahas dan dalil mengenai sesuatu yangn boleh diterima atau tidak boleh diterima dan yang boleh berganti-ganti, umpamanya, pusingan musim dan cuaca – panas, sejuk, hujan, kering dan sebagainya.

 

·         Nadzari – ketetapan yang memerlukan bahas dan dalil mengenai sesuatu yang  boleh terjadi, umpamanya, seorang anak raja boleh dan tidak boleh mendapat ganjaran dari pemerintah negeri. 

Berdasarkan hukum aqli dan huraiannya di atas, para mutakallimin berpendapat bahawa kewujudan alam kabir membuktikan ada yang menjadikannya, sebagai firman Allah;

Maksudnya; “Allah Taala telah menjadikan langit dan bumi dan barang yang ada diantara keduanya…..” (surah (32) As Sajdah, ayat 4) 

Seterusnya Allah berfirman;

Erti; “Sesungguhnya didalam kejadian langit dan bumi, dan bergantian malam dan siang, bahawa adalah pada yang demikian itu, menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang ahli berfikir“, (surah (3) Ali Imran ayat 190) 

Untuk mengenal Pencipta alam kabir ini adalah wajib bagi setiap mukallaf mengetahui sifat dan asma’Nya. Ada dua cara untuk mengkaji dan mengenalNya, iaitu secara ajmali dan secara tafsili. 

Mengetahui sifat Allah secara ajmali menjurus kepada i’tikad dan pegangan seseorang mukallaf dengan i’tikad yang putus bahawa wajib bagi Allah Ta’ala bersifat dengan sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan keTuhanan dan mustahil bagiNya bersifat kekurangan. 

Mengetahui sifat Allah secara tafsili pula menjurus kepada i’tiqad dan pegangan seseorang mukallaf dengan i’tikad yang putus lengkap dengan dalil-dalil ‘aqli dan naqlinya bahawa Allah Taala wajib mempunyai dua puluh sifat yang wajib, dua puluh sifat yang mustahil dan satu sifat yang harus. 

Tiga perkara berikut perlu menjadi asas untuk mengenal sifat Allah Taala ini, iaitu;

i.   I’tiqad yang putus – iaitu tiada syak, dzan dan waham 

ii. I’tikad yang muafakat – bersetuju i’tikad yang sebenar berbetulan dengan I’tikad ahli sunnah waljamaah berdasarkan Al Qur’an dan hadith 

iii. I’tikad yang berdalil – dalil aqli dan naqli 

Perlu ditegaskan bahawa i’tikad itu putus dan muafakat dengan sebenarnya tetapi tidak berdalil maka dalam keadaan sedemikian ianya sudah menjadi taqlid. 

HUKUM ‘ADI


·         Hukum ‘adi atau hukum adat adalah hukum yang menetapkan sesuatu barang bagi suatu barang lainnya atau menafikan suatu barang kerana suatu barang lainnya dengan berulang-ulang serta dikata sah berlawanan juga tidak memberi bekas salah satu bagi yang lain. Hukum ‘adi adalah hukum manusia bukan hukum Allah yang berasaskan kepada kepatutan sesuatu benda yang boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Ianya boleh pula mengikut sesuatu bangsa atau suku kaum. Hukum ‘adi terbahagi kepada empat iaitu;

 

o   Perhubungan “ada dengan ada” – contohnya adanya kenyang dalam perut, berhubung dengan adanya makanan dalam perut.

 

o   Perhubungan “tidak dengan tidak” – contohnya tidak ada rasa kenyang dalam perut, berhubung dengan tidak ada makanan dalam perut itu.

 

o   Perhubungan “keadaan suatu hal dengan ketiadaan suatu hal yang lain” –  contohnya keadaan badan menjadi sejuk, berhubung dengan tidak memakai selimut atau tidak memakai kain atau baju.

 

o   Perhubungan “keadaan suatu hal dengan keadaan hal yang lain” – contohnya tidak hangus kayu itu di makan api, berhubung dengan air yang menyirami.

 

·         Agama Islam adalah jalan kepada Tuhan. Tuhan adalah Allah yang merupakan matlamat pengabdian dan penyembahan setiap  hambaNya. Pengabdian dan penyembahan itu bertukar kepada ziir (solat) iaitu ajakan dan tarikan tauhid. Dengan demikan, dalam rangka kita menuju ke peringkat mengenal Allah ini maka kita wajib mempunyai ‘akidah yang  jazam dan putus supaya kita dapat memberi makna yang sebenarnya kepada pengabdian dan penyembahan itu.

 

·         Oleh yang demikian, sewajarlah pengabdian dan penyembahan itu bermatlamatkan kepada agama dengan kepercayaan terhadap kewujudan zat yang Ghaib Tertinggi lagi Maha Perkasa dan Bebas dengan kemahuan dan iradatNya untuk bertindak, mengatur dan mengurus alam semesta di mana dengan kepercayaan itu seorang dapat bermunajat dengan penuh harapan, kepatuhan dan pengagungan berlandaskan hukum-hukum yang telah ditentukan, antaranya sebagaimana yang dikurniakan di atas tadi.  

 

·         Sayugia juga ditegaskan bahawa agama ialah akidah dan merupakan fitrah semula jadi yang sedia diletakkan Allah dalam diri setiap orang yang beragama itu sebagaimana firman Allah,

Bermaksud,  “Maka hadapkan wajah mu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”, (surah (30) Ar Ruum, ayat 30)

 

·         Dengan huraian seperti diatas setidak-tidaknya kita dapat mengetahui akan Pencipta alam ini dengan sifat-sifatNya secara dzahir, namun demikian setakat ini kita hanya mengetahui sahaja tetapi masih belum mengenal.

 

·         Dalam urusan kepada mengenal Allah yang dikehendaki ialah “HUKUM AKAL”. Melalui akal adalah ketetapan yang menyeluruh tiada kecuali kerana manusia semuanya berakal. Oleh kerana itu semua orang itu mengenal Allah selama mana akalnya sejahtera tetapi tidak diwajibkan kepada mereka-mereka yang kelemahan akal.

 

1.      Mengapa Allah Mencipta Makhluk? 

Sebelum kita membincangkan kaedah-kaedah mengenal Allah, mungkin bermanfaat jika kita  memahami tujuan Allah mencipta manusia dan makhluk seluruhnya

Allah berfirman dalam surah Azzariyat ayat 56 seperti berikut;

وَمَاخَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 

“Dan ingatlah, aku tidak menciptakan jin  dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Ku” (Surah (51) Azariyat, ayat 56). 

Nyatalah daripada ayat ini bahawa manusia (dan jin) dicipta supaya mereka beribadat kepadaNya. 

Konsep beribadat itu amatlah luas tetapi secara ringkasnya, ia merangkumi segala aspek berkaitan dengannya:

 

·         Hubungan manusia dengan Allah

·         Hubungan manusia sesama manusia

·         Hubungan manusia dengan alam

·         Hubungan manusia dengan diri sendiri

 

i.        Hubungan Manusia dengan Allah 

Hubungan manusia dengan Allah adalah diikat oleh akidah melalui kalimah tauhid yang mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah yang Maha Esa sebagaimana firman Allah Taala:

فَاعۡلَمۡ اَنَّہٗ لَاۤ اِلٰہَ اِلَّا اللّٰہُ 

Maksudnya; “maka tetapkan pengetahuan mu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah” (surah (47) Muhammad: ayat 19) 

Firman Allah seterusnya; 

Maksudnya; “Allah menyatakan bahawa tidak ada tuhan selain Dia; (demikian pula) para malaikat dan orang berilmu yang menegakkan keadilan, tidak ada tuhan selain Dia, Yang Mahaperkasa lagi Maha-bijaksana” (surah (3) Ali Imran: ayat 18) 

Pengakuan seseorang manusia (tiada tuhan yang berhak disembah) yang diikrarkannya dalam kalimah syahadah  لاإله إلاالله  adalah membuktikan bahawa hubungan manusia dengan Allah adalah  berdasarkan aqidah dan tauhid. Dan hubungan ini adalah hubungan diantara Khaliq dengan makhluk (yang menjadikan dengan dijadikan) iaitu hubungan Allah dengan makhluk-makhlukNya (manusia). 

Dengan erti kata lain, manusia yang menghubungkan dirinya dengan Allah pada semua perkara dan pekerjaan adalah bermakna mereka telah mentauhidkan rububiyah Allah, iaitu mengiktikadkan dengan iktikad yang pasti bahawa Allah yang Maha Esa yang berkuasa menjadikan dan mentadbir semua perkara dan pekerjaan manusia di alam dunia ini. 

Hubungan manusia dengan Allah dari sudut ibadah, sebagaimana yang kita ketahui bahawa akidah dan tauhid adalah menjadi asas yang penting bagi agama khususnya agama Islam. Dan ibadah adalah memainkan peranan yang penting bagi menentukan tahap keagamaan atau tahap ketaqwaan seseorang itu terhadap Allah swt. Dan Allah menegaskan bahawa tujuan-Nya menjadikan manusia adalah untuk menyembah dan beribadat kepadaNya. Ini yang menghubungkan diantara manusia dengan Allah Taala. 

Firman Allah s.w.t.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku" (QS. az-Zariyat: 56). 

Ibadah yang dimaksudkan disini adalah dalam bentuk menyuruh melakukan kebaikan atau menurut segala perintah Allah Taala dan menegah melakukan kejahatan iaitu meninggalkan segala yang dilarang oleh Nya. Ia terangkum didalam pelaksanaan Islam sebagai Addin iaitu cara hidup atau pegangan yang abadi. 

Ibadah-ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap manusia didalam menjalinkan hubungan dengan Allah swt adalah seperti yang terkandung didalam rukun Islam yang lima iaitu:-

 

i.          Mengucap dua kalimah syahadah

ii.         Mendirikan solat 5 waktu sehari semalam

iii.        Puasa dalam bulan Ramadhan

iv.        Membayar zakat dan fitrah

v.         Mengerjakan haji di Baitullah 

Manusia yang ibadah kepada Allah Taala dengan hati yang bersih dapat meningkatkan tahap ketaqwaan terhadap Allah Taala. Dan Allah Taala telah memberi jaminan akan memuliakan hamba-Nya yang tinggi tahap ketaqwaan. 

Kemuliaan dan keistimewaan yang telah diberikan oleh Allah Taala kepada umat Nabi Muhammad saw selagi mereka tetap setia menjalankan ibadah kepada Allah Taala yang terangkum dalam tiga dasar Islam yang utama iaitu:-

 

i.          Menyuruh melakukan kebaikan

ii.         Menegah melakukan kejahatan

iii.        Beriman kepada Allah Taala dengan sebenarnya 

Allah swt juga menegaskan bahawa sekiranya manusia itu melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan tiga dasar Islam yang utama ini atau ingkar dengan perintah-perintah Allah Taala maka mereka itu akan ditimpakan kehinaan dan kemiskinan oleh Allah swt selagi mereka tidak bertaubat. 

Ini termaktub didalam firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 112 ;

 

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ اَيْنَ مَاثُقِفُوْٓااِلَّابِحَبْلٍ مِّنَ اللّٰهِ

وَحَبْلٍ مِّنَ النَّا سِ وَبَاۤءُوْبِغَضَبٍ مِّنَ اللّٰهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ۗ  ذٰلِكَ بِاَنَّهُمْ كَانُوْيَكْفُرُوْنَ بِاٰ يٰتِ اللّٰهِ

 

Maknanya: “Mereka ditimpa kehinaan (dari segala jurusan) di mana saja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu ialah disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah. (Surah (3) Ali Imran: ayat 112).

 

ii.      Hubungan Manusia sesama Manusia


a. Hubungan sesama manusia dari sudut aqidah



Bersambung ke Bhg 4..

  

No comments: